Rem Dambul

Kelmarin dulu, hari Sabtu, saya kembara jauh ke utara Sabah. Tempoh perjalanan melangkau tiga jam; sepertiga darinya merentas jalan gravel simpang siur di celah ladang sawit.
Misi utama, mau melawat sekaligus merasmikan projek bekalan air bersih di Kg. Pituru Timbang Taun, Pitas. Ini satu kolaborasi istimewa yang menggandingkan universiti dan organisasi luar. Tujuannya untuk menyampaikan khidmat amal masyarakat. Jadi, jangan mau mengata: konon kaum sarjana ini cuma mahsyuk jadi bangsawan menara gading, tapi tidak reti turun padang.

Kg. Pituru yang permai, tapi menyimpan cerita duka tersembunyi. — in Pitas, Sabah.

Pun begitu, ada juga kaki gosip yang skeptik: kenapa pula TNC Penyelidikan dan Inovasi giat mau menyibuk dengan aktiviti "corporat social responsibility" (CSR) yang bukan pun di bawah portfolio dia? Hah, ini satu kekeliruan yang perlu diberi pencerahan.
Program yang saya sertai ini tidak serupa dengan CSR konvensional. Ini bukan kisah warga universiti datang berduyun-duyun menghantar bantuan tepung dan gula kepada mangsa bencana. Atau turun gotong royong menambahbaik balairaya yang sudah lama usang di sebuah desa terpencil. BUKAN.
Ini satu CSR berbentuk inovasi sosial, yang terasnya dipacu ilmu saintifik dan input kajilidikan. Projek bekalan air bersih di Kg. Pituru berdepan bermacam kekangan -- yang menuntut kepakaran hidrologi, geologi, sains sekitaran dan aplikasi kejuruteraan asas.

Sistem penapisan hasil inovasi para saintis Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS. Ia user-friendly dan mudah dikendali orang kampung. Kolam takungan ada di bawah pokok pisang sana. — with Mohd Khalizan in Pitas, Sabah.

Kenapa? Mari saya bagitau. Kg. Pituru ini jauh dari pusat bekalan air bersih terawat. Orang-orang kampung pula terserak merata dalam satu kawasan yang luas. Maksudnya, tempat ini bukan saja terpencil. Bahkan, ambang penduduknya juga amat rendah, relatif kepada taburan ruang.
Justeru pola geografinya begitu; maka tidak ekonomik dari segi kos dan tidak praktikal dari segi logistik -- untuk sambungkan akses air bersih menerusi kaedah perpaipan lazim dari pusat bekalan sedia ada.
Menyedari situasi ini, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS telah menawarkan kepakaran kolektif untuk tangani masalah ini, dengan bantuan dana dari Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Kegembiraan orang kampung dan keriangan komuniti universiti -- adalah petunjuk penyelidikan dan inovasi bermartabat tinggi. — with Mohd Khalizan in Pitas, Sabah.

Apa saintis UMS buat? Di kawasan ini ada satu kolam takungan semulajadi. Tapi airnya sangat tepu dengan sedimen. Team pakar dari UMS ini mencipta inovasi saringan air, yang mampu mendapkan kandungan lempung yang tinggi. Sebelum ditapis untuk proses penjernihan akhir.
Ini yang dirujuk inovasi sosial dan "translational research". Pengetahuan fundamental dan aplikasi dalam sains hidrologi, sekitaran serta geologi diolah menjadi teknologi marhaen. Kemudian diterjemah ke lapangan untuk menyelesaikan isu-isu komuniti.

YEZ! ðŸ’ªðŸ’ªðŸ’ª — in Pitas, Sabah.

Aspirasi merakyatkan universiti boleh dipupuk dengan subur dalam bidang penyelidikan dan inovasi. Negara perlukan sains dan teknologi. Tetapi universitilah yang bertanggungjawab memacu transilasi ilmu teoritikal ini kepada inovasi.
Bila ada inovasi yang bertindak sebagai perantara, barulah gugusan ilmu yang dicanai di universiti -- boleh mengakar dan membumi dalam kehidupan sebenar. Ya, UMS selaku "universiti rakyat" wajib menghayati degup kemanusiaan dan bersebati dengan nadi masyarakat.


**Artikel ini pertama kali diterbitkan di Facebook Rem Dambul
Inovasi
Julai 8, 2019
0

Ulasan

Search

Popular Posts

Kelmarin dulu, hari Sabtu, saya kembara jauh ke utara Sabah. Tempoh perjalanan…

Semalam, berlangsung secara rasmi majlis serah tugas pimpinan lama kepada N…

Contact Me